Pengeluaran keseluruhan kenderaan di negara ini dijangka merosot sebanyak 70,000 unit tahun ini akibat krisis ekonomi global dan kemelesetan ekonomi semasa.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengeluaran kereta dijangka merosot daripada 550,000 unit tahun lalu, kepada 480,000 unit tahun ini - merosot kira-kira 20 peratus.
Katanya, kemerosotan itu berpunca daripada jangkaan keyakinan pengguna yang semakin menurun dan pengetatan kredit oleh bank.
"Krisis kewangan global dan kemelesetan ekonomi semasa telah memberi kesan kepada industri automotif di seluruh dunia dan syarikat automotif di seluruh dunia sedang mengalami kesukaran yang teruk, katanya di majlis perasmian Bilik Pameran Naza Italia di Petaling Jaya hari ini, lapor Bernama.
Muhyiddin berkata kerajaan kini sedang berusaha untuk membantu industri kenderaan motor semasa krisis ekonomi sekarang serta memastikan pembangunan berterusan industri itu, dengan menyediakan peruntukan tambahan RM200 juta kepada tabung pembangunan automotif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.
Mengenai Dasar Automotif Negara (NAP), dalam usaha meningkatkan lagi usaha dan menggalakkan pembangunan industri itu, beliau berkata, kerajaan kini sedang menyemak semula dasar itu.
"Perundingan sedang dilakukan di kalangan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta persatuan industri berkenaan, bagi memastikan NAP menyumbang secara berkesan ke arah pembangunan industri itu," katanya.
Muhyiddin berkata, semakan semula itu akan menambahbaik lagi garis panduan, dasar dan insentif sedia ada, dengan mengambil kira impak keadaan ekonomi global dan serantau.
No comments:
Post a Comment