KETIKA matahari mula menyingsing di Lakemba, pinggir barat daya Sydney 30 Mac lalu, seorang wanita, menjerit-jerit seperti kena rasuk, di balkoni apartmennya, |
KETIKA matahari mula menyingsing di Lakemba, pinggir barat daya Sydney 30 Mac lalu, seorang wanita, menjerit-jerit seperti kena rasuk, di balkoni apartmennya,
“Peter, Peter, Peter,” jerit wanita itu sambil cuba ditenangkan seorang wanita muda.
Anaknya, Peter Zervas, 32, ketika itu terlantar di hospital selepas ditembak — keganasan terbaru berkait dengan ‘perang kumpulan bermotosikal.
Dua hari sebelum Peter Zervas, anggota Hell’s Angels ditembak di luar rumahnya, keluarganya mengebumikan adiknya, Anthony, 29 yang dipukul hingga mati depan khalayak ramai di Lapangan Terbang Sydney.
Keganasan itu berpunca daripada pergaduhan antara kumpulan, Hell’s Angels dan Comanchero.
Dalam kejadian lain, beberapa rumah anggota kumpulan motosikal bertentangan di Sydney diserang sementara bekas Presiden Kelab Motosikal WA Rebels ditemui mati dengan kesan tembakan di kediamannya di Canberra pada 24 Mac lalu.
“Kami terlalu banyak memberi tumpuan terhadap keganasan di sini dan membelanjakan berjuta-juta dolar untuk menanganinya,” kata Ross Coulthart, pengarang bersama Dead Man Running yang juga wartawan penyiasat rancangan Sunday Night terbitan Saluran Tujuh televisyen Australia, ketika mengulas keganasan membabitkan kumpulan motosikal di Australia.
Apa yang berlaku, kata pakar dan pengakuan anggota lama kumpulan motosikal ialah peralihan dalam budaya kelab motosikal, yang meninggalkan tumpuan terhadap motosikal dan semangat setiakawan kepada ketaksuban terhadap kuasa, wang dan status.
Tidak lagi kelihatan kerja kebajikan seperti mengutip derma untuk hospital kanak-kanak yang dilakukan anggota pencinta motosikal Harley Davidson sebelum ini.
“Tidak seperti dulu, untuk menjadi anggota satu kumpulan motosikal kini begitu mudah. Semangat setiakawan sudah luntur,” kata seorang bekas presiden kumpulan motosikal yang diharamkan.
Kumpulan motosikal itu yang satu ketika dianggotai masyarakat keturunan Anglo-Saxon, kini dikuasai kaum keturunan Asia Barat, seperti dalam Notorius, yang langsung tidak mempunyai kepentingan menubuhkan sebuah kelab motosikal.
Lebih buruk lagi, polis Australia diperdaya kumpulan seumpama itu. Sebahagian pergaduhan membabitkan kumpulan motosikal itu mungkin dapat diselesaikan di mahkamah tetapi sering kali dalam kejadian lain di negara itu, mereka yang terbabit terlepas daripada tuduhan membunuh.
Apa yang disifatkan perang kumpulan motosikal sudah berlaku di Australia sejak berpuluh tahun lalu. Sejak pembunuhan Milperra di Sydney kira-kira 25 tahun lalu, ia semakin berkembang di kalangan penjenayah di bandar raya utama Australia. Namun, ia berlaku secara tersembunyi dengan penemuan beberapa mayat dan kadang kala serangan bom yang hanya diketahui orang ramai menerusi akhbar.
Satu-satunya perkara yang jelas membezakan keganasan baru dengan lama ialah tindakan memukul, mengebom, peras ugut, menembak dan membunuh kini dilakukan siang hari, di depan khalayak ramai, termasuk kanak-kanak.
Bagaimanapun, kejadian bulan lalu juga bukan pergaduhan terang-terangan antara kumpulan motosikal yang bertentangan,
Pernah beberapa tahun lalu, dua kumpulan bergaduh di luar mahkamah di Sydney sementara polis dan pegawai mahkamah hanya melihat saja, tanpa ada usaha untuk meleraikan mereka.
Walaupun masih terdapat beberapa anggota lama yang menjauhkan diri dari jenayah, namun kumpulan motosikal ketika ini beralih kepada jenayah lebih canggih dan terancang. Sengketa dan pergaduhan antara mereka untuk menguasai kawasan dijangka bertambah buruk.
“Ia keganasan bentuk baru. Dulu, undang-undangnya ialah: Jangan di tempat kerja, Jangan di rumah. Jangan depan wanita dan kanak-kanak. Kini, mereka tidak pedulikan itu semua. Mereka melakukan keganasan di mana saja,” katanya.
Untuk menenangkan keadaan selepas peristiwa bulan lalu, presiden kumpulan Comanchero, Mahmoud ‘Mick’ Hawi, menghalang anggotanya memakai warna dan logo kumpulan atau menunggang motosikal.
Katanya, ia bertujuan mengurangkan kebimbangan di kalangan orang awam.
Tetapi di kalangan anggota kumpulan motosikal, lain pula yang ceritanya. Menurut mereka, anggota kumpulan Hell’s Angels mengeluarkan arahan ‘menembak mati’ siapa saja yang menganggotai Comanchero,
“Ini adalah perisytiharan perang. Kami diarah bersikap pasif atau menghadapi tindakan,” kata seorang anggota kumpulan itu.
Punca meletusnya perang antara kumpulan motosikal itu begitu mudah — untuk berkuasa, menguasai perniagan dadah dan paling utama, wang.
Lebih buruk lagi, polis keberatan untuk bertindak
“Polis takut dengan mereka. Polis tidak lagi dapat mengawal kumpulan itu,” kata seorang anggota kumpulan haram terbabit.
Baru-baru ini, seorang pakar mengenai kumpulan samseng mencadangkan polis dan ahli politik mengumpulkan ketua kumpulan berkenaan untuk mengusahakan perjanjian damai antara mereka sebelum keganasan bertambah buruk.
Anggota kumpulan itu memperlekehkan cadangan berkenaan, seperti seorang ketua satu kumpulan pernah berkata, permusuhan akan terus berlaku.
“Sengketa dan permusuhan hanya akan terhenti jika mereka yang mencetuskan peperangan itu terbunuh. Keamanan yang wujud itu pun akan bersifat sementara saja. Permusuhan akan berterusan dan sengketa akan terus berlaku seperti sepanjang 45 tahun lalu, ” katanya,
Bagi anggota kumpulan, mereka tidak boleh meninggalkan kumpulan asal mereka begitu saja.
“Anda boleh bersara atau berundur tetapi anda tidak boleh menyertai kumpulan lain. Jika mereka dibenar berbuat demikian, mereka akan membocorkan semua rahsia kelab. Sebahagain besar keganasan bulan lalu membabitkan kes seperti ini,” kata anggota lama sebuah kumpulan motosikal yang enggan dikenali.
No comments:
Post a Comment