Friday, May 15, 2009

Petronas NGV runding buka stesen di enam lagi bandar

PETRONAS NGV Sdn Bhd, sedang berunding untuk membuka stesen NGV di enam lagi bandar dalam usahanya meluaskan pasaran di kawasan pertumbuhan baru di luar Lembah Klang.

Ketua Eksekutifnya, Md Fadzlan Abdul Samad, berkata ia termasuk di Kuala Terengganu dan beberapa bandar lain yang belum mempunyai stesen NGV seperti Kuantan, Kota Bharu, Miri, Bintulu dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, langkah itu sejajar usaha syarikat itu mencapai sasarannya membuka 200 stesen NGV di seluruh negara menjelang akhir tahun depan.

Katanya, kelembapan ekonomi tidak akan menjejaskan usaha syarikat itu untuk membuka baki 80 stesen NGV baru dan yakin sasaran berkenaan akan dicapai.

“Kami yakin berada di landasan betul untuk mencapai sasaran menjelang akhir 2010 kerana sehingga kini 120 stesen NGV sudah dibina meliputi semua negeri kecuali Pahang, Kelantan, Perlis, Sabah dan Sarawak.

“Di sebalik kelembapan ekonomi, pelaksanaan projek akan diteruskan, tetapi akan mengambil langkah pengurusan perbelanjaan berhemah,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Md Fadzlan berkata, strategi berkenaan penting ketika menghadapi keadaan ekonomi semasa kerana kos membina stesen NGV amat tinggi, mencecah sehingga RM3 juta setiap satu.

Beliau menjelaskan, bagi pembukaan stesen NGV baru di enam bandar itu, pemilihan lokasi adalah berdasarkan kajian terperinci meliputi keupayaan teknikal dan strategik untuk penyaluran bekalan seperti saluran paip gas, bekalan NGV dan permintaan tinggi.

Katanya, keupayaan sokongan teknikal dan strategik bagi penyaluran bekalan NGV di kawasan baru adalah amat penting dalam menentukan lokasi sesebuah stesen NGV.


No comments: