Friday, May 1, 2009

Proton perlu rakan global

HARI ini memberi signifikan yang besar kepada syarikat kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) Berhad. Malam ini, Proton akan melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang pertama, Proton Exora.

Pasukan pengurusan syarikat itu yang cuba merahsiakan rupa sebenar Exora sejak Januari lalu kepada umum, akan boleh menarik nafas lega esok. Tiada lagi rungutan atau sungutan terhadap media arus perdana yang menyiarkan gambar Exora di muka depan.

Signifikan yang kedua ialah kembalinya arkitek kepada kelahiran Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam aktiviti syarikat setelah merasakan fungsinya sebagai penasihat Proton tidak diendahkan sebelum ini.

Tun Mahathir dijangka akan turut bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pentas malam ini untuk merasmikan Proton Exora.

Sebagai Penasihat Proton, Tun Mahathir dilihat akan memberi sokongan supaya Proton mencari kekuatan menerusi pakatan, sama ada secara strategik berasaskan projek atau penjualan ekuiti dalam syarikat. Ini adalah tema hala tuju Proton sebelum isu M.V Agusta menjadi tajuk berita utama dunia automotif.

Kemelut dalam industri automotif global turut menyaksikan syarikat Amerika, Chrysler dan syarikat Itali, Fiat telah bersetuju untuk bergabung bagi membantu perniagaan masing-masing yang merudum.

Persoalannya dalam keadaan ekonomi global sekarang yang lemah, siapa yang sudi atau mampu memberi tawaran kepada Proton.

Peluang terbaik pada Proton dulu ialah Volkswagen AG tetapi beberapa hari sahaja sebelum perjanjian hendak dimeterai, ia dibatalkan atas gesaan pihak tertentu termasuk pengurusan tertinggi Proton sendiri.

Seandainya mahu menawarkan kepada Volkswagen sekarang pun belum tentu ia boleh menjadi realiti. Kemungkinan itu menjadi gelam tatkala Volkswagen berdepan dengan kemelut pasaran yang lemah di Eropah, yang merupakan pasaran utamanya di dunia.

Fenomena yang sama membelenggu syarikat-syarikat automotif global yang lain seperti General Motors (GM) dari Amerika Syarikat yang pernah menyuarakan minat untuk menjalin hubungan rasmi dengan Proton. Malangnya GM sendiri pun kini terpaksa melutut meminta bantuan Presiden Barack Obama untuk kesinambungan hidup.

Jadi tinggal siapa? Renault mungkin. Tetapi banyak lagi usaha perlu dilakukan bukan sahaja di pihak Proton tetapi paling penting di pihak pentadbiran kerajaan baru Malaysia untuk meyakinkan ikon automotif Carlos Ghosn supaya benar-benar yakin penyertaan Renault/ Nissan boleh memberi nilai tambah kepadanya.

Maksudnya, tiada campur tangan berlebihan daripada mana-mana pihak seperti yang diperkatakan dalam rundingan Volkswagen dulu. Gabung tetapi tanpa perlu menggadaikan identiti Proton sebagai hak milik mutlak rakyat Malaysia.

Apakah masalah yang membelenggu syarikat berusia 23 tahun ini? Proton masih berdepan dengan isu kekurangan skala ekonomi daripada aspek jualan yang secukupnya. Cubaannya untuk memberi fokus kepada pengeksportan kereta-kereta Proton nampaknya masih 'ala kadar'.

Segmen eksportnya masih belum mampu menyaingi jualan domestik dan ini merunsingkan, terutama kepada para pemegang saham.

Lantaran itu, apabila Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyarankan kesemua kereta berstatus nasional di Malaysia disatukan, ia menimbulkan semula polemik yang pernah dibangkitkan lama dahulu.

Dalam konteks di atas, industri automotif nasional akan mendapat lebih banyak manfaat menerusi penggabungan Proton dengan Perodua, Naza dan Inokom. Masalah sampingannya ialah tatkala Proton sudah bebas daripada pakatan dengan Mitsubishi Motors Co., Perodua kekal teguh dengan Daihatsu Motor dan tidak kelihatan Naza akan melepaskan Peugeot dan Kia; atau Inokom meninggalkan Hyundai.

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) diwujudkan bagi memacu pembangunan kereta-kereta kecil di negara ini pada 1993. Perodua adalah sebuah syarikat usaha sama antara rakan kongsi Malaysia dan Jepun dengan pegangan ekuiti dipegang oleh Kumpulan UMW sebanyak 38 peratus saham, Daihatsu Motor (20 peratus), MBM Resources Bhd. (20 peratus), PNB Equity Resources Corp. Sdn. Bhd. (10 peratus), Mitsui & Co (7 peratus) dan Daihatsu Malaysia (5 peratus).

Kemasukan Perodua sebagai pembuat kereta nasional kedua pada asalnya, tidak bersifat sebagai pesaing kepada Proton tetapi merupakan penyokong kepada industri dengan menumpu pada kereta bersaiz kecil berbanding keluaran Proton.

Namun keadaan bertukar sebaliknya apabila Proton memutuskan untuk mengeluarkan Proton Tiara yang bersaiz enjin kecil dan seterusnya Proton Savvy, manakala Perodua muncul dengan versi Daihatsu Sirion yang ditukar nama menjadi Myvi.

Keadaan menjadi lebih pelik apabila jualan Perodua melangkaui keupayaan Proton, malah tatkala Exora hendak dilancarkan malam ini pun, Perodua sudah melaungkan rancangannya untuk mengeluarkan sebuah MPV seumpamanya.

Persaingan ini berterusan kerana Perodua dilihat lebih berdarah kacukan dan lebih tebal sifat Daihatsunya - yang tidak mengendahkan pun persoalan identiti kereta nasional yang dipegang oleh Proton. Bagi Daihatsu, ini adalah perniagaan, bukan sentimen.

Perodua memiliki skala ekonomi Daihatsu dan boleh memilih produk yang sesuai untuk pasaran Malaysia, kata penulis blog automotif popular, Paul Tan kepada Utusan Malaysia. "Perodua tidak memerlukan Proton."

Malah Paul juga tidak melihat wujudnya sinergi dalam tempoh jangka pendek dan pertengahan bagi penggabungan Proton dan Perodua boleh mendatangkan hasil.

"Mungkin sinergi boleh dihasilkan pada bahagian pembekalan alat ganti dan kapasiti pengeluaran. Namun demikian, Perodua sudah pun memiliki semuanya dan kilang canggih Proton di Tanjung Malim belum cukup mengghairahkan Perodua," ujarnya.

Ramai pihak akan bersetuju bahawa penggabungan adalah langkah terbaik untuk mana-mana entiti perniagaan dalam iklim ekonomi yang lemah pada masa ini. Bukan sahaja ia memberi kos efisien daripada segi operasi tetapi juga meningkatkan mutu pengeluaran kerana pengekalan hanya dibuat berasaskan meritokrasi.

Seandainya Proton dan Perodua bergabung dan dikira daripada segi jumlah penguasaan pasaran automotif domestik masing-masing, ia dengan mudah menguasai hampir 60 peratus bilangan industri setahun.

Dalam erti kata lain, kedua-duanya akan menikmati kelebihan daripada segi pilihan tawaran produk yang lebih banyak, skala ekonomi lebih besar dan tenaga pakar.

Ada juga pendapat mengatakan penggabungan kedua-duanya tidak berapa menguntungkan Proton. Ini disebabkan sifat Perodua hanyalah kereta Daihatsu yang diberi nama Malaysia. Tiada teknologi khusus yang boleh diraih Proton, berbanding Perodua yang mungkin memperoleh manfaat daripada sayap Lotus, milik Proton.

Katakanlah idea penggabungan ini dipersetujui dan diteruskan, satu-satunya kaedah untuk merealisasikan impian itu ialah menerusi keputusan Kabinet.

Kerajaan Malaysia memiliki himpunan ekuiti yang besar dalam Perodua menerusi syarikat milik kerajaan seperti UMW dan sayap pelaburannya, PNB. Maknanya, hanya dengan kehendak politik barulah penggabungan kereta nasional boleh terlaksana.

Namun di sebalik semua idea ini, Proton sebenarnya lebih memerlukan rakan kongsi teknologi automotif bertaraf dunia untuk maju ke hadapan.

No comments: