Showing posts with label kuasa. Show all posts
Showing posts with label kuasa. Show all posts

Friday, January 2, 2009

10 maut nahas buruk hari kedua tali pinggang belakang dikuat kuasa

ORANG ramai bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam melihat keadaan kereta Produa Kenari yang rosak teruk selepas terlibat dalam satu kemalangan maut melibatkan tiga kenderaan dan mengorbankan 10 orang daripada dua keluarga di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Hentian Rehat dan Rawat hari ini. -fotoBERNAMA
KANAK-kanak Noraihah Nabila Abdul Rahim, 2, diiringi bapanya Abdul Rahim Jaafar, 35, (dua, kiri) setibanya di Hospital Raja Perempuan Zainab II petang ini. fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] GUA MUSANG:Sepuluh maut dan seorang bayi cedera parah dalam kemalangan di Gua Musang, paling buruk hanya dua hari selepas peraturan mengenakan tali pinggang penumpang belakang dikuatkuasakan.

Kemalangan itu yang melibatkan tiga kenderaan berlaku di Bukit Sejuk pada pukul 11.30 pagi tadi.

Malah, ia juga kemalangan buruk selepas kejadian Ahad lalu membabitkan dua buah kenderaan remuk selepas bertembung di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Gua Sejuk.

Kejadian itu mengakibatkan dua beradik maut iaitu pemandu kereta, Mohd Zakuan Abdul Aziz, 18, dan kakaknya, Saadiah, 21.

Dalam kemalangan pagi ini, Ketua Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Rosli Che Sulaiman berkata, kecuali pemandu mangsa tidak mengenakan tali pinggang.

Kemalangan itu juga dipercayai berpunca apabila sebuah Perodua Kancil yang dipandu oleh Haliza Md Zain, 33, bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

Ekoran pertembungan itu, sebuah kereta dari belakang, Kenari melanggar Perodua Kancil.

Haliza dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Krai dari Gua Musang.

Selain Haliza, mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai adiknya Maziatul Shamila, tiga anak Haliza iaitu Mohd. Rahiza Yuswa Abdul Rahim, 12, Norashidah, 10, dan Shaha, 6.

Anak keempat Haliza, Noraihah Nabila yang berusia 12 bulan cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan.

Lima mangsa kereta yang lain dikenali sebagai Lau Sin Eik, 59, iaitu pemandu kereta; Lee Bee Seng, 50; Lau Chai Soon, 78; Ho Kin Hum, 86, dan Shareen Lau Ming Min, 18.

Mereka yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda, Phua Thein Noo, 28, (pemandu) dan penumpangnya, Tan Chee Hua, 44, Wong KeeHooi, 20, dan Lau Soon Lee, 33, mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Ahmad Termizi Abd. Haq berkata, pihaknya menahan Phua untuk disoal siasat.

"Siasatan awal menunjukkan kemalangan dipercayai terjadi disebabkan pemandu Kancil memandu laju ketika cuba memotong kenderaan lain.

"Pemandu itu tidak sempat memotong dan kemungkinan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda.

"Hampir kesemua mangsa mati di tempat kejadian kecuali kanak-kanak berusia enam tahun meninggal dunia ketika dibawa ke hospital," katanya.

Ahmad Termizi menambah, kebanyakan mangsa terperangkap dalam kenderaan manakala sebahagian lagi tercampak keluar.

Thursday, August 21, 2008

Lebih kuasa, jimat minyak

Oleh Mohd Razlan Salleh

PENGELUAR motosikal nasional, Modenas melancarkan dua model terbarunya, Kriss 120 dan Skuter Passion Sports 125 yang lebih berkuasa dengan penggunaan minyak yang minimum.

Skuter yang diperkenalkan di pasaran pada penghujung tahun 2005 itu tampil dengan beberapa pembaharuan yang menepati kehendak pengguna kini yang lebih menumpukan kepada penjimatan, murah dan alat ganti yang mudah diperoleh.

Passion 125 Sports dilengkapi dengan tayar yang lebih lebar untuk memberikan cengkaman mantap, poket mini untuk penyimpanan barangan peribadi seperti telefon bimbit atau minuman dan aero deco yang menambahkan gaya skuter terbaru berkenaan.

Selain itu, skuter generasi terbaru ini dilengkapi dengan lampu depan berkembar yang memberi daya penglihatan lebih jelas pada waktu malam serta warna dan corak grafik sporty.

Motosikal berkuasa 125cc itu disasarkan kepada golongan remaja yang mementingkan gaya dan sesuai untuk kegunaan di bandar dengan transmisi automatik serta sistem sejukan cecair terkini.

Versi ini tampil dengan lima warna pilihan iaitu Merah Membara, Biru Sinaran, Hijau Tropika dan Perak Mutiara.

Majlis pelancaran kedua-dua model motosikal itu disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd, Mohd Khamil Jamil.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Abdul Harith Abdullah.

Sementara itu, Kriss 120 turut diperbaharui termasuk penghidup tendang yang lebih ringan dikenali sebagai sistem Decompression berbanding model terdahulu.

Selain itu, Modenas Kriss 120 dilengkapi Modenas Advance Camshaft System atau Mac-s yang memberi lebih kuasa terhadap enjin terutama ketika mula bergerak atau memecut.

Antara pembaharuan yang dipertingkatkan termasuk aero visor ala perlumbaan, aero deco pada bahagian hadapan, aero fin sisi dan rim sport dengan brek cakera dwi-piston bagi daya pemberhentian maksimum.

Menurut Abdul Harith, kemasukan dua variasi terbaru itu mampu memperbaiki penguasaan Modenas dalam pasaran motosikal sehingga 15 peratus pada akhir tahun ini.

“Peningkatan itu berdasarkan kepada peningkatan pengeluaran kepada 8,000 unit sebulan bermula bulan ini dan mencecah 85,000 unit menjelang penghujung tahun ini,” katanya.

Skuter Passion Sports 125 dijual pada harga RM4,302 manakala Kriss 120 (E) berharga RM3,838 dan Kriss 120 (R) ditawarkan dengan harga RM4,199.

myMetro

Honda Stream lebih kuasa

Oleh Mohd Razlan Salleh

KENDERAAN pelbagai guna (MPV) masih menjadi pilihan bagi mereka yang mencari kenderaan keluarga bersaiz sederhana walaupun kadangkala harga ditawarkan dianggap terlalu tinggi.

KENDERAAN pelbagai guna (MPV) masih menjadi pilihan bagi mereka yang mencari kenderaan keluarga bersaiz sederhana walaupun kadangkala harga ditawarkan dianggap terlalu tinggi.

Bagaimanapun, nilai pelaburan yang dikeluarkan dianggap berbaloi jika kenderaan yang dibeli itu memberi kepuasan kepada pemiliknya.

Honda Stream yang dibawa masuk Honda Malaysia jelas memberi keselesaan yang optimum dengan kuasa, reka bentuk dan ruang dalaman yang dianggap memuaskan bagi sebuah MPV berharga lebih RM150,000.

Model MPV generasi terbaru ini didatangkan dengan enjin baru iaitu R18A 1.8L yang lebih berkuasa berbanding model terdahulu.

Malah, enjin baru ini menawarkan penggunaan minyak seperti sebuah enjin kapasiti 1.6L selain kuasanya bagai sebuah jentera berkuasa 2.0 liter.

Dari sudut luaran, terserlah gaya kemewahan dengan padanan lampu depan yang garang selain lambang ‘H’ yang besar menghiasi ruang hadapan Stream.

Malah, bentuknya yang rendah memudahkan penumpang keluar masuk terutama bagi mereka yang berada pada baris kerusi paling belakang.

Stream baru lebih luas sehingga baris tempat duduk ketiga boleh diduduki orang dewasa berbanding model terdahulu yang hanya dikhaskan untuk kanak-kanak.

Jurutera Honda berjaya menyelesaikan masalah ini walaupun bumbung nampak rendah, lantai dalam direka agar ruang kabin boleh memuatkan dewasa, baik di depan mahupun di barisan paling akhir.

Keistimewaan MPV terletak pada bahagian belakang yang boleh menjadi ruang kargo luas apabila kerusi baris ketiga dilipat terus ke dalam lantai.

Papan pemuka nampak seperti adunan daripada Civic yang nampak ringkas tetapi kemas dengan tombol gear yang memudahkan pemandu mengawalnya.

Kualiti plastik buatan Jepun nyata tinggi dan semuanya nampak tahan lasak. Ruang tempat duduk juga dibalut dengan fabrik lembut yang cukup sinonim dengan kereta buatan Jepun iaitu kain yang halus seperti baldu.

Ruang dalaman Stream yang berwarna cerah membolehkan ia kelihatan luas tetapi kotoran mudah kelihatan.

Memandu jentera ini di atas jalan raya terasa amat lancar dan senyap. Enjinnya agak kuat di putaran enjin rendah tetapi memberi kuasa yang cukup untuk menggerakkan tubuhnya yang panjang.

Malah, stereng yang ringan banyak membantu ketika mengambil posisi meletak kenderaan dan tidak hairanlah ramai wanita lebih banyak dilihat memandu Stream berbanding lelaki.

Sistem brek amat responsif kerana dibekalkan dengan sistem ABS dan EBD selain bantuan suspensi yang tidak terlalu keras atau lembut, sesuai untuk sebuah MPV keluarga bersaiz sederhana.

Kelemahan yang boleh diatasi cuma ketiadaan corong penyaman udara pada bahagian tengah yang menyukarkan penumpang baris kedua dan ketiga menikmati hawa dingin lebih cepat.

Bagaimanapun, kehadiran bumbung suria memberi kelebihan kepada jentera ini untuk bersaing dengan pesaing terdekatnya yang turut menawarkan rupa bentuk yang memikat.

Kesimpulannya, Honda Stream baru ini sesuai bagi mereka yang mencari kenderaan untuk keselesaan ketika mengharungi perjalanan jauh sama ada untuk bercuti atau pulang ke kampung.



>Spesifikasi

Honda Stream 1.8L

Enjin: R18A 1,799cc, 16-injap SOHC i-VTEC PGM-Fi

Kuasa maksimum: 138hp pada 6,300rpm

Tork maksimum: 174Nm pada 4,300rpm

Transmisi: Automatik lima kelajuan

Ciri keselamatan: ABS, EBD dan beg udara SRS berkembar

Harga: RM149,800 termasuk insurans

Tayar yang dicadangkan: ComfortContact 1 205/65R15 94V TL

myMetro