Thursday, August 21, 2008

Lebih kuasa, jimat minyak

Oleh Mohd Razlan Salleh

PENGELUAR motosikal nasional, Modenas melancarkan dua model terbarunya, Kriss 120 dan Skuter Passion Sports 125 yang lebih berkuasa dengan penggunaan minyak yang minimum.

Skuter yang diperkenalkan di pasaran pada penghujung tahun 2005 itu tampil dengan beberapa pembaharuan yang menepati kehendak pengguna kini yang lebih menumpukan kepada penjimatan, murah dan alat ganti yang mudah diperoleh.

Passion 125 Sports dilengkapi dengan tayar yang lebih lebar untuk memberikan cengkaman mantap, poket mini untuk penyimpanan barangan peribadi seperti telefon bimbit atau minuman dan aero deco yang menambahkan gaya skuter terbaru berkenaan.

Selain itu, skuter generasi terbaru ini dilengkapi dengan lampu depan berkembar yang memberi daya penglihatan lebih jelas pada waktu malam serta warna dan corak grafik sporty.

Motosikal berkuasa 125cc itu disasarkan kepada golongan remaja yang mementingkan gaya dan sesuai untuk kegunaan di bandar dengan transmisi automatik serta sistem sejukan cecair terkini.

Versi ini tampil dengan lima warna pilihan iaitu Merah Membara, Biru Sinaran, Hijau Tropika dan Perak Mutiara.

Majlis pelancaran kedua-dua model motosikal itu disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd, Mohd Khamil Jamil.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Abdul Harith Abdullah.

Sementara itu, Kriss 120 turut diperbaharui termasuk penghidup tendang yang lebih ringan dikenali sebagai sistem Decompression berbanding model terdahulu.

Selain itu, Modenas Kriss 120 dilengkapi Modenas Advance Camshaft System atau Mac-s yang memberi lebih kuasa terhadap enjin terutama ketika mula bergerak atau memecut.

Antara pembaharuan yang dipertingkatkan termasuk aero visor ala perlumbaan, aero deco pada bahagian hadapan, aero fin sisi dan rim sport dengan brek cakera dwi-piston bagi daya pemberhentian maksimum.

Menurut Abdul Harith, kemasukan dua variasi terbaru itu mampu memperbaiki penguasaan Modenas dalam pasaran motosikal sehingga 15 peratus pada akhir tahun ini.

“Peningkatan itu berdasarkan kepada peningkatan pengeluaran kepada 8,000 unit sebulan bermula bulan ini dan mencecah 85,000 unit menjelang penghujung tahun ini,” katanya.

Skuter Passion Sports 125 dijual pada harga RM4,302 manakala Kriss 120 (E) berharga RM3,838 dan Kriss 120 (R) ditawarkan dengan harga RM4,199.

myMetro

No comments: