Saturday, August 30, 2008

Aura cruiser sejati

Walaupun gaya dan rekaannya kadangkala nampak janggal, tetapi Harley Davidson telah mencipta kegilaan terhadap label itu di seluruh dunia.


HARLEY Davidson sememangnya terkenal dengan variasi reka bentuk unik dan mengkagumkan.


KETIKA diperkenalkan dalam rangkaian keluarga Harley, motosikal ini telah mengubah sejarah 100 tahun Harley dalam diari motosikal cruiser ulung buatan Amerika Syarikat (AS).

Buat pertama kalinya, Harley Davidson dengan berani mengubah kotak fikiran pemilik Harley Davidson daripada menunggang sebuah motosikal konvensional, kepada cruiser tradisi-moden yang sarat dengan perubahan besar.

Ketika awal pengenalannya ramai yang tidak dapat menerima kehadiran teknologi suntikan bahan bakar dan tangki bahan api di bawah tempat duduk.

Tidak dilupakan juga, ‘dosa’ paling besar – penyejuk enjin dengan sistem pendingin air. Kehadiran radiator sememangnya satu perkara yang tidak dapat diterima oleh penggemar Harley Davidson lantaran sejak 100 tahun sebelumnya, motosikal ini disejukkan oleh udara.

Namun, dengan faktor pembangunan yang terancang, skim promosi dan pendedahan yang meluas, V-Rod akhirnya diterima masuk dalam keluarga Harley Davidson.

Bukan sahaja di AS, malah permintaan motosikal ini meningkat dengan mendadak kerana gaya dan praktik barunya. Anda harus terima gaya AS yang pelik.

Biar saya jelaskan dengan mudah. AS masih lagi berbangga dengan enjin kereta V8/V12 dengan sesaran enjin 4000 hingga 5000cc, walaupun harga minyak melambung tinggi. Dalam keadaan lain pula, mereka juga tidak berminat dengan sukan bola sepak yang diikuti lebih separuh daripada penduduk bumi. Yang digilai ialah bola keranjang, kriket dan ragbi.

Kepelikan budaya AS ini dikikis menerusi V-Rod. Buat pertama kali juga dalam sejarah perniagaan motosikal keluarga Harley, mereka telah membeli enjin daripada Porsche untuk V-Rod.

Cetak biru asal projek ini tertangguh kerana kesukaran membina nadi penggerak yang menepati kriteria yang ditetapkan. Banyak masa terbuang untuk membina sebuah enjin yang jauh berkuasa daripada mana-mana yang pernah dihasilkan Harley Davidson sebelum ini.

Daripada terus melabur pada risiko dan juga masa yang semakin suntuk, Harley Davidson akhirnya meminta kepakaran Porsche untuk membina enjin V-Rod.

V-Rod bukanlah sebuah model baru sepenuhnya. Model VRSC ini adalah rentetan kejayaan V-Rod asal dengan sebuah versi baru yang lebih mengutamakan kuasa.




VRSC bermaksud V-Twin Racing Street Custom yang dibina untuk pengalaman tunggangan yang lebih agresif. Secara visualnya, identifikasi VRSC ini dapat dicam menerusi trek tayar belakang selebar 240mm (lebar tayar BMW 5 siri!), bar hendal yang lebih rendah dan ke hadapan dan roda-roda buatan aluminium.

Bagaimana untuk menghasilkan kuasa yang dinamik pada sebuah motosikal yang beratnya hampir setengah tan ini? Pertama, enjin asal perlu dieksplorasi sepenuhnya ke tahap yang mampu dicapai.

Enjin 1130cc V-Rod telah ditingkatkan menjadi 1250cc, kini saiz gerek lima mm lebih besar, sekali gus berupaya menghasilkan 125 kuasa kuda dan 84 paun tork pada 7000 rpm. Enjin sejukan cecair ini diselaraskan dengan kawalan komputer kepada sistem suntikan ESPFI (Electronic Sequential Port Fuel Injection) sementara kapasiti kotak udaranya dipertingkatkan lebih 10 peratus daripada versi biasa V-Rod.

Sistem transmisinya kekal pada lima kelajuan, namun klac konvensional Harley Davdison telah dimajukan dengan teknologi slipper untuk mengurangkan rasa sentakan ketika gear diturunkan.

Ciri bantuan tambahan turut dipasangkan pada klac ini untuk mengurangkan tekanan menarik tuil klac kepada 20 peratus. Banyak yang telah dilaburkan untuk menjadikan jentera ini seronok ditunggang oleh sesiapa sahaja. Jika dahulu, anda perlu memiliki lengan bersaiz Hulk Hogan (dengan tatu) untuk menunggang Harley Davidson, kini klac dan pendikitnya mampu dikawal oleh Angelina Jolie.

Sebagai sebuah motosikal yang dibina lebih laju daripada varian asal, ciri pengendalian VRSC ini telah diperkemaskan dengan menempatkan sistem brek antikekunci (ABS). Pun begitu, sistem ABS ini bertindak secara mekanikal kerana faktor ruang dan sistem yang rumit.

Dengan sistem ini, peralatan yang digunakan lebih sedikit, lantas mengekalkan rupabentuk asal roda motosikal Harley Davidson yang secara tradisinya dihiasi dengan aspek krom dan ringkas.

Harley adalah motosikal cruiser sejati. Sejarah telah membuktikan bahawa jentera kelahiran AS ini memililiki aura dan keistimewaannya yang tersendiri.



No comments: