Saturday, August 30, 2008

Pencabar Vios dan City

Menjadi model sedan pertama yang ditawarkannya, Suzuki Malaysia Automobile mensasarkan SX4 Sedan ini buat mereka yang mahukan kelainan dan prestasi sebenar sebuah sedan.




JENAMA ini nampaknya semakin mendapat momentum positif di pasaran tempatan. Jika sebelum ini, ia lebih dikenali dengan beberapa model yang terhad seperti Vitara atau APV, Suzuki terus mengorak langkah bergaya menerusi rangkaian produk yang semakin luas.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa penerimaan terhadap Suzuki bertambah baik apabila ia memperkenalkan generasi terbaru kereta kompak yang sekian lama ditunggu-tunggu, Swift dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) pada tahun 2005.


ATAS: Hadir bersama dua beg udara SRS.


Yakin dengan bilangan jualan dan mahu menawarkan produk berkualiti pada harga lebih mampu milik, rakyat Malaysia kemudiannya ‘dihadiahkan’ dengan model Swift yang dipasang tempatan (CKD) pada pertengahan tahun lalu.

Tidak mahu hanya bergantung kepada model Swift, Suzuki Malaysia juga terus ghairah menambah variasi produknya. Antaranya, menerusi model seperti Grand Vitara, SX4 Crossover dan Suzuki Swift Sport yang masih lagi dibawa masuk dalam bentuk CBU.

Kini, fokus Suzuki dilebarkan kepada satu lagi segmen iaitu sedan. Ia bagi menambah pilihan yang sebelum ini agak terhad termasuklah model-model seperti Toyota Vios atau Honda City.


RUANG but yang lebih luas.


Menurut Pengarah Urusan Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd., Ibrahim Maidin, model SX4 Sedan ini sebenarnya menjadi indikator terhadap masa depan Suzuki yang baru.

“Walaupun cabaran yang dihadapi dalam industri amat sengit, Suzuki tetap agresif dalam meningkatkan tahap kepuasan setiap pelanggannya,” katanya.


RUANG kabin Suzuki SX4 Sedan menggunakan warna hitam dan kelabu sebagai latarnya.


Komitmen ini diperkukuhkan dengan perjanjian kerjasama antara Suzuki Motor Corporation, DRB-HICOM Berhad dan Itochu Corporation. Kerjasama ini diterjemahkan kepada usaha menambah baik rangkaian pengedar dan memastikan mereka memberikan servis terbaik.

Untuk makluman, pada tahun 2007, sebanyak 2,500 unit pelbagai model Suzuki berjaya dijual iaitu peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Penasihat Eksekutif Jualan dan Pemasaran, Kenjiro Matsumoto menyatakan bahawa reka bentuk dan prestasi SX4 Sedan diperkemaskan di Eropah yang merupakan pasaran paling mencabar di dunia.


TOMBOL pendingin hawa automatik.


Dibangunkan atas kerangka Swift, model ini menawarkan pemanduan yang dinamik dan lebih luas untuk keselesaan setiap penumpangnya. Jika diteliti, SX4 Sedan sememangnya memiliki dimensi yang lebih tinggi, lebar dan ruang kargo luas berbanding pesaingnya.

Dua minggu sebelum pelancarannya, sekumpulan wartawan diberi peluang untuk memandu uji Suzuki SX4 Sedan menuju ke Pulau Pinang. Pernah memandu uji model SX4 Crossover sebelum ini, penulis dapat merasakan perbezaan yang agak ketara.


BUTANG kawalan audio di stereng yang praktikal.


Menggunakan unit enjin bersesaran 1.6 liter yang sama pada model Swift Sport, ia tidak berdepan masalah untuk menempuh laluan lebuh raya dengan lancar. Dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan, pemandu masih boleh memotong kenderaan lain dengan yakin tanpa perlu berasa kehilangan kuasa.

Entah mengapa, tahap responsif unit enjin ini tidak sebagus yang boleh dirasakan pada model SX4 Crossover. Tetapi, tidaklah terlalu serius sehingga membuatkan penumpang bosan untuk terus memegang sterengnya.

Cuma, sistem suspensi terutamanya di bahagian belakang terasa begitu lembut. Talaan ini mungkin kerana mahu menyesuaikan status SX4 sebagai kenderaan keluarga, tetapi keadaan tersebut membuatkan penumpang tempat duduk belakang kadangkala berasa kurang selesa.




Ruang dalaman SX4 memaparkan reka bentuk papan pemuka yang ringkas dan cukup kemas. Dimonopoli oleh warna hitam dan kelabu, konsol tengahnya menjadi lokasi buat tiga tombol pendingin hawa automatik, selain paparan informasi yang memaparkan maklumat seperti waktu, suhu luaran dan kadar purata penggunaan bahan api.

Unit audio yang boleh memainkan format muzik MP3 dan cakera padat dipadankan dengan lapan pembesar suara bagi penghasilan bunyi terbaik. Malah, menguatkan atau mengecilkan suara dan pencarian stesen radio boleh dibuat melalui butang yang ada pada sterengnya.

Bagi anda yang sering bertugas di luar daerah, sekadar menghabiskan hujung minggu balik ke kampung atau bercuti, ruang kargo dengan kapasiti 515 liter pasti boleh memuatkan bagasi anda tanpa sebarang masalah.

Apabila tempat duduk belakangnya dilipat pada konfigurasi 60:40 pula, ia menyediakan lebih banyak ruang untuk anda mengangkut barang yang panjang dan besar.


MENAMPILKAN reka bentuk luaran yang kemas.


Tidak perlu bimbang mengenai aspek keselamatan kerana SX4 Sedan dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif. Mulakan dengan kedudukan pemandu yang sedikit tinggi. Ia membolehkan bahagian hadapan dapat dilihat dengan lebih jelas.

Sistem brek antikekunci (ABS) yang disempurnakan bersama sistem Electronic Brake-force Distribution (EBD) pasti banyak membantu ketika brek kecemasan dibuat.

Mensasarkan jualan sebanyak 100 hingga 150 unit sebulan, Ibrahim Maidin membayangkan SX4 Sedan mungkin akan mengikut jejak langkah model Swift (CKD) jika permintaannya melepasi 500 unit sebulan menjelang akhir tahun ini.

Terdapat dua varian untuk dipilih iaitu standard dan premier. Model premier ini hadir bersama tingkap tinted, spoiler, visor pintu dan tempat duduk kulit. Harganya pula ialah RM96,567 seunit (premier) dan RM91,437 untuk model standard di atas jalan bersama insurans.

No comments: