MENJADI sebuah model kenderaan pelbagai guna (MPV), banyak aspek yang perlu diambil kira bagi membolehkannya menyerlah berbanding model-model yang lain.
Selain pengendalian seperti sebuah sedan, keselesaan penumpang, keluasan ruang kargo dan keselamatan, penjimatan penggunaan bahan api juga merupakan aspek paling kritikal yang perlu diteliti, berikutan kenaikan sumber asli itu yang amat sukar dijangka.
Justeru, dalam pasaran yang semakin tepu dengan pelbagai tawaran daripada setiap pengedar rasmi mahupun grey importer, pemilihan MPV terbaik yang menepati kemampuan, kecenderungan dan penggunaan anda amatlah penting.
Mula memasuki pasaran sejak tahun 2005, model MPV keluaran Mitsubishi ini sememangnya mendapat sambutan menggalakkan. Bersaing dalam segmen MPV bersaiz penuh seperti Honda Odyssey dan Toyota Estima, Mitsubishi Grandis nyata memiliki keistimewaan tersendiri.
Grandis dibawa oleh pengedar sahnya iaitu Mitsubishi Motor Malaysia Sdn. Bhd. dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Kebanyakan model Toyota Estima yang dijual oleh grey importer adalah model recond dan pastinya tidak memiliki aspek perkhidmatan selepas jualan sebaik yang mampu ditawarkan oleh pengedar sah.
|
|
Harga Mitsubishi Grandis juga cukup menarik. Memang, pada awal pengenalannya dahulu, sebuah Grandis ditawarkan pada harga sekitar RM205,000. Tetapi kini, ia telah diturunkan kepada RM163,000 seunit di atas jalan dengan insurans.
Bandingkan pula dengan model Estima dan Odyssey yang sejak dahulu lagi sudah melepasi takat harga RM200,000 seunit. Namun begitu, sudah pasti Odyssey dan Estima mempunyai kelebihan yang mungkin tidak ada pada Grandis.
Grandis yang penulis pandu uji ini merupakan model facelift yang baru diperkenalkan pada September tahun lalu bagi menggantikan model sedia ada. Melihat secara kasar, tidak banyak perubahan ketara yang boleh dikenal pasti.
|
|
Antara kelainan yang dibawanya ialah gril radiator model baru ini telah ditukar kepada bentuk yang lebih lebar. Di tengah-tengahnya, tersimpan kemas logo yang dibentuk daripada gabungan tiga bentuk rombus yang membuatkan wajah Grandis semakin maskulin. Bumper hadapan turut menerima reka bentuk baru, lengkap bersama sepasang lampu kabus.
Manakala bahagian belakangnya nampak menyerlah melalui sepasang lampu yang memanjang. Dengan perumah berwarna jernih, lampu belakang ini dipenuhi dengan butiran LED.
Tahap aerodinamik Grandis boleh dilihat pada kerangka dengan binaan tiang A yang menirus ke bahagian belakang. Garis kontur yang ada pada sisi tubuhnya juga membayangkan bahawa model ini cuba dibangunkan sehampir mungkin dengan model konsepnya.
|
|
Penampilan itu disempurnakan lagi menerusi penggunaan rim aloi lima jejari bersaiz 17 inci. Anda boleh memilih satu antara empat warna yang ditawarkan pada Grandis iaitu hitam perak, kelabu dan putih.
Mengaplikasikan unit enjin baru berkapasiti 2.4 liter, prestasi yang ditawarkan tidaklah menghampakan. Ia dipadankan dengan sistem INVECS-II (Intelligent & Innovative Vehicles Electronic Control System) dan berupaya menghasilkan kuasa sehingga 121kW (165PS) @ 6,000 rpm dan tork maksimum 217 Nm @ 4,000.
Maka tidak hairanlah jika pemanduan di kawasan bandar dan lebuh raya terasa begitu lancar dan bertenaga biarpun ia sarat dengan penumpang.
Enjin MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control) ini dipadankan dengan kotak transmisi automatik empat kelajuan yang juga boleh dikawal secara manual (sports mode). Memandangkan hanya empat gear yang disediakan, penulis lebih gemar memandunya dengan tombol gear diletakkan pada mode D.
Tidak pernah berkompromi dengan aspek keselamatan, kerangka Mitsubishi RISE (Reinforced and Impact Safety Evolution) MPV ini dilengkapi dengan beg udara SRS berkembar, pedal brek yang akan patah jika berlaku kemalangan, sistem brek ABS, EBD dan Brake Assist.
Cuma, penulis sedikit keliru kenapa Grandis tidak mempunyai ciri kunci berpusat (central locking) pada pintunya. Sedangkan ia adalah sebuah kenderaan untuk seisi keluarga yang pastinya turut ditumpang oleh anak-anak kecil.
|
|
Ruang dalaman Grandis mengekalkan lakaran papan pemuka yang sama dengan model sebelumnya. Konsol tengahnya yang lebar dengan dua tona warna iaitu hitam dan perak menempatkan unit audio satu DIN yang nampak sedikit kosong.
Kedudukan tombol suis pendingin hawa dan tuil gear cukup mudah dioperasikan oleh pemandu. Tidak perlu bimbang untuk menyimpan barang-barang anda kerana MPV ini begitu pemurah dengan ruang penyimpanan barangnya.
Penumpang di barisan tempat duduk kedua dan ketiga boleh duduk dengan selesa berikutan ruang kaki yang luas. Mereka juga tidak akan kepanasan kerana corong pendingin hawa boleh didapati di bahagian sisi kepala.
Mahu memberikan pengalaman terbaik di dalam kabin, Grandis turut dilengkapi dengan unit paparan LCD yang tersimpan kemas di bahagian bumbungnya. Selain menayangkan filem, ia boleh menjadi paparan informasi frekuensi radio yang sedang didengar.
Bagi mereka yang tidak biasa memandu kenderaan sebesar ini, tidak perlu bimbang kerana Grandis dilengkapi dengan alat pengesan di setiap bucunya. Ia akan berbunyi sebaik sahaja kenderaan ini mendekati halangan, sekali gus memudahkan tugas anda memakir di ruang yang sempit.
Sebagai salah satu komitmen terhadap kualiti produk edarannya, Mitsubishi Motors Malaysia menawarkan jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 100,000 kilometer (yang mana sampai dahulu), selain tiga tahun atau 60,000 Program Penyelenggaraan Percuma kepada setiap pembelian Grandis.
Pembeli juga bakal menerima sokongan perkhidmatan selepas jualan yang sebaiknya. Mereka dibekalkan dengan kad Mitsubishi Assist 24 yang menawarkan pelbagai kelebihan termasuklah bantuan di tepi jalan 24 jam.
No comments:
Post a Comment