Saturday, August 30, 2008

Lebih nilai artistik


PERUBAHAN diterimanya membuatkan penampilan Volvo S40 lebih segar dan sesuai buat para eksekutif muda.


'VOLVO akan tetap berada di sini, biarpun pasaran kereta Eropah di Malaysia nampaknya menghadapi cabaran yang cukup hebat," tegas Presiden Volvo Car Malaysia, Robert Norrman.

Kata-kata itu jelas membuktikan kesungguhan pengedar jenama kereta dari Sweden tersebut untuk terus menawarkan rangkaian produk terbaik buat semua peminat setia jenama Volvo di Malaysia.

Selepas berjaya dengan pelancaran model sports dua pintunya iaitu C30 coupe, Volvo Car Malaysia mengetengahkan pula model sedan kompak premium keluarannya, Volvo S40.

Dengan tagline Simply beautiful, Volvo S40 menyerlahkan lagi komitmen Volvo dalam menghasilkan kenderaan yang sarat dengan ciri keselamatan terkini serta reka bentuk Scandinavian.

"Falsafah reka bentuk Volvo terhasil daripada alam sekitar di mana segalanya memiliki tempat, rekaan dan tujuannya tersendiri. Ia berkaitan dengan bentuk dan fungsi yang melengkapi antara satu sama lain.

"Hasilnya, rekaan kenderaan Volvo adalah artistik, bijak serta ringkas, namun ia tetap cantik dan elegan," jelas Norman selepas melancarkan Volvo S40 di bilik pamerannya di Swedish Marque, Kuala Lumpur Selasa lalu.

Lebih menarik lagi, harga sedan premium yang dipasang tempatan ini hanya sekitar RM169,500 berbanding RM181,500 sebelum ini (harga atas jalan tanpa insurans).


VOLVO S40 sarat dengan teknologi keselamatan termaju.


Volvo S40 disasarkan kepada mereka yang mahukan sebuah sedan premium dan mewah bersama prestasi serta pengendalian pemanduan lebih baik.

Biar pun berada dalam segmen premium, harga yang ditawarkan buat seunit Volvo S40 adalah sedikit rendah. Ia membuatkan model level entry sedan mewah ini semakin menarik.

Mahu memenuhi keperluan setiap pembelinya, Volvo S40 ini telah menerima beberapa perubahan drastik pada reka bentuk dan spesifikasinya.

Bagi mengekalkan DNA S40, banyak karakteristiknya dikekalkan. Misalnya, tubuh S40 tetap kompak dengan garis dan rekaan lampu belakangnya yang sama.

Model ini memperoleh rekaan bumper hadapan lebih berprestij yang diambil dari elemen model terkini Volvo S80 dan V70 dengan kerangka gril radiatornya berwarna krom.

Emblem Volvo pula 50 peratus lebih besar. Lampu utamanya menerima saiz dan bentuk yang baru bagi mendapatkan imej lebih lebar. Sementara teknologi lampu LED digunakan pada lampu brek dan memberikan penampilan berbeza jika dilihat dari sisinya.

Menawarkan kabin yang luas, setiap tempat duduk penumpang boleh dilipat sepenuhnya untuk memberikan ruang yang rata. Seperti biasa, Volvo S40 tampil bersama konsol tengahnya yang cukup nipis dan ruang penyimpanan di bahagian belakangnya

Corong pendingin hawa pada papan pemukanya telah direka semula bersama butang kemasan krom. Model baru ini dilengkapi dengan sistem audio pemain cakera padat, lapan pembesar suara dan amplifier 4X40W.

Tidak sah berbicara tentang sebuah Volvo jika tidak menyentuh tentang aspek keselamatan yang dimilikinya. Dibina di atas kerangka yang cukup kukuh, Volvo turut membangunkan pelbagai sitem informasi untuk membantu pemandu ketika memandu.

Sebagai contoh, sistem IDIS (Intelligent Driver Information System). Ia antaranya berfungsi melambatkan panggilan telefon ketika pemanduan berada di situasi trafik yang kompleks dan memerlukan perhatian sepenuhnya pemandu ke atas jalan raya.

Sistem di bahagian luaran jentera ini pula bertanggungjawab menyerap kuasa pelanggaran. Kecederaan penumpang di dalam kabin mampu dikurangkan menerusi sistem keselamatan yang proaktif termasuklah WHIPS (Whiplash Protection System), SIPS (Side Impact Protection System) dan IC (Inflatable Curtain).

Lampu hazards S40 juga akan menyala secara automatik apabila beg udara digunakan. Ciri ini membantu memberi peringatan awal kepada pengguna jalan raya yang lain agar memperlahankan kenderaan dan berhati-hati.

Volvo S40 dibekalkan dengan unit enjin lima silinder sebaris bagi memberikan prestasi sebaiknya. Enjin yang menawarkan kuasa maksimum sehingga 170 hp @ 6,000 rpm dan tork 230Nm @ 4,400 rpm ini menjanjikan getaran yang minimum dan operasi cukup lancar.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan automatik yang lengkap bersama ciri Geartronic. Model yang memenangi pelbagai anugerah termasuklah Ideal Car of 2008 dari majalah AutoPacific USA, Golden Steering Wheel award 2006 daripada akhbar Bild am Sontagg Jerman ini menawarkan tiga warna sebagai pilihan iaitu merah, perak dan hitam.

No comments: