Saturday, August 30, 2008

Serba baru




MODEL kompak hatchback ini disifatkan sebagai sebuah model global buat pengeluar kereta berpengaruh dari Jepun, Honda.

Dikenali sebagai Honda Fit di pasaran Jepun dan menemui khalayak pada 2001, penerimaan Honda Fit atau dipanggil Honda Jazz di kebanyakan pasaran luar Jepun nyata memberansangkan dengan jumlah jualan mencecah 2.3 juta di 115 buah negara.

Setelah mengalami beberapa sesi facelift dan penambahan pilihan warna segar, Honda Jazz kini tampil dengan generasi kedua, bersama 1001 keistimewaan yang membuatkannya menjadi sebuah model lebih premium.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co. Ltd., Fumihiko Ike menyatakan model baru ini tidak dibangunkan sebagai satu evolusi mudah.

Sebaliknya, Jazz dibina dengan matlamat mencipta satu nilai yang melebihi ekpektasi pengguna dari aspek reka bentuk serta prestasi yang digabungkan bersama teknologi keselamatan dan mesra alam terkini.

Para pengguna pasti akan berpuas hati dengan segala perubahan yang ada pada Honda Jazz ini. Ia bukan sekadar menerima pembaharuan dari segi bentuk luaran dan dalaman, malah aspek teknikalnya turut diberi perhatian.

Dimensi Jazz telah dilebarkan bagi memberi tahap keselesaan penumpang yang maksimum di dalam kabin. Tidak terhad dengan itu, ruang kargonya membolehkan Jazz menjadi peneraju di dalam kelasnya.

Berbeza dengan model Jazz sebelum ini yang hadir dengan dua varian enjin iaitu i-DSi dan VTEC, model terbaru tampil menerusi satu pilihan enjin sahaja, i-VTEC serba baru.

Enjin i-VTEC ini menawarkan lengkok kuasa dan tork yang lebih baik berbanding enjin i-DSI dan VTEC, di samping menjimatkan penggunaan bahan api.

Berdasarkan ujian kecekapan penggunaan minyak di Jepun, Jazz dikatakan mampu mencatat kadar 24 kilometer bagi setiap liter petrol di dalam tangkinya.

Setelah kaji selidik dibuat di seluruh dunia, Honda juga membuat keputusan untuk menggantikan transmisi CVT kepada gear automatik lima kelajuan. Ini bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih sporty terutamanya di lebuh raya.

Bagi pasaran Malaysia, hanya transmisi automatik lima kelajuan ditawarkan. Sementara untuk pasaran Jepun, Honda masih mengekalkan penggunaan gear CVT dan mengaplikasikan gear jenis AMT bagi pengguna di Eropah.

Lebih menarik lagi, Jazz menjadi model pertama dalam segmennya yang menawarkan transmisi sebegitu, selain aplikasi stereng teleskopik. Kelebihan ini membolehkan pemandu mengubah suai kedudukan stereng sama ada ke hadapan, belakang, bawah atau atas mengikut keselesaan.

Ketika ditanya mengenai harga Jazz yang dilihat sedikit mahal berbanding model sebelumnya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Atsushi Fujimoto menyatakan agak sukar bagi pihaknya untuk mengekalkan harga rendah seperti model Jazz sedia ada.

"Harga Jazz ini mungkin mahal sedikit, tetapi jika dinilai dari segi penjimatan minyak, keselesaan dan praktikaliti, ia sebenarnya satu pelaburan yang menguntungkan dalam jangka masa panjang. Lagipun ini adalah model hatchback premium.

"Pihak Honda juga tidak bercadang untuk menjadikan Jazz sebagai model CKD (dipasang tempatan), memandangkan kilang sedia ada hanya bertanggungjawab memasang model-model seperti City, Accord, Civic dan CR-V dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 35,000 unit setahun," kata Fujimoto.

Buat pertama kalinya juga, pelancaran Honda Jazz disempurnakan dalam satu majlis pertunjukan fesyen penuh glamor. Konsep ini dipilih sebagai menepati falsafah, gaya dan imej Jazz yang baru.

Majlis tersebut mengetengahkan rekaan pereka fesyen muda dan juru gaya tempatan seperti Melinda Looi, Jonathan Cheng, Khoon Hooi dan Cris Yong.

Honda Malaysia mensasarkan jualan Jazz yang dibawa masuk dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Thailand ini sebanyak 200 unit sebulan atau 2,400 unit bagi tempoh tahun pertama pelancarannya.

Ditawarkan menerusi empat warna menarik iaitu putih, hitam perak dan biru, anda boleh memilih antara dua gred, Jazz S atau Jazz V. Bezanya, Jazz V dilengkapi dengan beberapa ciri tambahan termasuklah paddle shifter dan cruise control.

Anda boleh memiliki Jazz pada harga RM104,800 seunit (Jazz S) dan RM109,800 (Jazz V) dengan insurans.

Kepada mereka yang mahukan kelainan, anda boleh mendapatkan set aksesori Modulo tulen pada harga pakej RM3,000. Ia meliputi spoiler belakang, pedal aloi, rim aloi bersaiz 16 inci dan lampu kabus.

Selain itu, anda juga boleh mendapatkan set navigasi GPS dan kerusi keselamatan kanak-kanak pada harga berbeza.

No comments: