Tuesday, November 18, 2008

Kerajaan setuju dedah perjanjian konsesi lebuh raya


Mohd. Zin Mohamed melancarkan Program Insentif Perjalanan PLUS sambil diperhatikan Noorizah Abd. Hamid (kanan), Abdul Munit Kasmin (kiri) dan Nasir Mat Dam di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Nov. - Kesemua 22 syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara kecuali Maju Expressway yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Putrajaya, bersetuju untuk mendedahkan kepada umum perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat terbabit kepada umum.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, dokumen perjanjian tersebut boleh didapati mulai 1 Januari depan.

Katanya, keputusan mendeklasifikasikan dokumen perjanjian tersebut dicapai berikutan persetujuan Kabinet pada mesyuarat 17 Oktober lalu terhadap memorandum kementerian itu bertajuk 'Pengelasan Semula Semua Penjanjian Konsesi Lebuh Raya Yang Sedang Beroperasi Supaya Dapat Didedahkan Kepada Umum.'

"Kabinet bersetuju supaya perjanjian konsesi lebuh raya yang sedang beroperasi dikelaskan semula selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas mendapat persetujuan daripada syarikat konsesi sejajar dengan peruntukan klausa kerahsiaan yang termaktub dalam perjanjian terbabit.

"Selepas itu, saya telah mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk berurusan dengan syarikat konsesi bagi mendapatkan keputusan mereka supaya menjadikan umum perjanjian-perjanjian ini. Semua mereka telah bersetuju kecuali satu," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Insentif Perjalanan PLUS di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Munit Kasmin, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Nasir Mat Dam dan Pengarah PLUS Expressways Berhad, Noorizah Abd. Hamid.

Kerajaan memutuskan untuk mendedahkan kepada umum perjanjian tersebut berikutan banyak pihak mendakwa perjanjian itu berat sebelah yang lebih menguntungkan pemegang konsesi tol.

Dengan mendeklasifikasikan dokumen tersebut, orang ramai akan dapat meneliti semua aspek operasi syarikat konsesi lebuh raya termasuk aliran kewangan syarikat terbabit.

Mengenai Maju Expressway Berhad pula, Mohd. Zin berkata, beliau menjangkakan akan menerima keputusan daripada pihak pengurusan syarikat itu dalam masa terdekat.

"Mereka belum lagi bersetuju tetapi saya rasa mereka mungkin akan bersetuju," katanya.

No comments: