Saturday, November 29, 2008

Polis boleh rampas topi keledar palsu


ANGGOTA penguat kuasa JPJ, Murni Dahlia Kasi menampalkan pelekat pada sebuah motosikal pada Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Puchong semalam.


PUCHONG - Polis bakal mempunyai kuasa untuk merampas dan memusnahkan topi keledar yang tidak mematuhi standard SIRIM di bawah undang-undang baru berkaitan topi keledar yang sedang dirangka oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan kerjasama pihak polis.

Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh berkata, undang-undang baru itu bertujuan membanteras penjualan dan penggunaan topi keledar palsu yang dibuat daripada bahan yang rapuh dan tidak mampu melindungi kepala pengguna motosikal.

Beliau berkata, topi keledar yang tidak diiktiraf SIRIM dijual dan digunakan secara meluas di negara ini dan keadaan itu perlu dibendung segera.

"Harga topi keledar yang mendapat standard SIRIM tak jauh beza dengan harga topi keledar berfesyen tapi tak berkualiti, jadi tiada sebab mengapa orang ramai tak boleh membeli yang berkualiti," katanya selepas mengetuai Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Hentian Sebelah Puchong Selatan Lebuhraya Damansara-Puchong di sini semalam.

Menurut beliau, advokasi dan pendidikan juga perlu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada pengguna motosikal supaya menggunakan lorong motosikal khas dan memandu tidak melebihi had laju 60 kilometer sejam.

No comments: