Wednesday, December 3, 2008

Tiada cadangan had maksimum motosikal 60 km sejam

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menguatkuasakan had laju maksimum 60km sejam bagi penunggang motosikal, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lajim Ukin, berkata sebaliknya had laju itu hanyalah had laju nasihat yang dicadangkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

“Kajian Miros menunjukkan apabila motosikal ditunggang tidak melebihi kelajuan maksimum 60km sejam, impak kemalangan dapat dikurangkan ketika dalam keadaan kecemasan apabila penunggang masih boleh mengawal motosikal yang ditunggang ketika itu.

“Had laju 60km sejam itu adalah atas harapan penunggang motor sempat memperlahankan motosikal mereka dalam keadaan kecemasan kepada 40 km sejam atau kurang daripada itu sebelum perlanggaran berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir yang bertanya adakah kerajaan akan menguatkuasakan had laju maksimum 60km sejam bagi motosikal.

Menjawab soalan tambahan Musa sekiranya kerajaan bercadang mewajibkan penunggang motosikal yang berumur 17 hingga 20 tahun hanya menggunakan motosikal berkapasiti 70cc sahaja, Lajim berkata kajian perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Untuk mengehadkan seperti itu perlu ada kajian kerana ada pelbagai jenis motosikal yang berkapasiti berlainan jadi mungkin kementerian saya melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan buat kajian terlebih dahulu,” katanya. - Bernama

No comments: