Showing posts with label motosikal. Show all posts
Showing posts with label motosikal. Show all posts

Sunday, March 8, 2009

Geseran piston punca bunyi pelik enjin motosikal

SAYA sering menggunakan motosikal untuk berulang- alik ke tempat kerja. Sejak kebelakangan ini, enjin motosikal Yamaha RXZ saya mengeluarkan bunyi pelik dan kasar.

Mengapakah perkara ini berlaku? Adakah ia disebabkan pemanduan atau penggunaan minyak pelincir yang salah?




Mat Despatch,
Kuala Lumpur




SAYA kurang pasti mengenai bunyi pelik yang dialami enjin motosikal saudara tetapi bunyi motosikal dua lejang memang kasar jika dibandingkan dengan motosikal empat lejang.

Bagaimanapun, jika terdengar bunyi pelik daripada bahagian enjin, saya yakin ia disebabkan geseran piston dan blok yang kurang licin.

Perkara ini berlaku mungkin disebabkan beban enjin pada kelajuan rpm terlalu tinggi atau memikul bebanan yang berat.

Sekiranya enjin dibebani dengan pecutan mendadak, ia mampu mendatangkan kehausan melampau kerana permukaan komponen enjin bergerak terlalu cepat.

Sebaiknya, dapatkan nasihat daripada mekanik bertauliah dan sekiranya berlaku sebarang kerosakan seperti gegelang omboh menjadi longgar, eloklah ditukar sebelum melarat.

Berkenaan minyak pelincir, rangkaian minyak pelincir Shell Advance memang dicipta untuk pemanduan ekstrem dalam sebarang keadaan.

Jika anda menggunakan minyak pelincir Shell Advance, saya yakin masalah berkenaan dapat diselesaikan selain memanjangkan jangka hayat enjin.

Bagaimanapun, sebaiknya rujuk buku panduan mengenai pelincir yang disyorkan pengeluar kerana ia sudah diuji sebelum sesebuah motosikal itu dikeluarkan.

Pilih minyak pelincir yang sama spesifikasi atau lebih tinggi daripada disyorkan.

Wednesday, December 3, 2008

Tiada cadangan had maksimum motosikal 60 km sejam

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menguatkuasakan had laju maksimum 60km sejam bagi penunggang motosikal, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lajim Ukin, berkata sebaliknya had laju itu hanyalah had laju nasihat yang dicadangkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

“Kajian Miros menunjukkan apabila motosikal ditunggang tidak melebihi kelajuan maksimum 60km sejam, impak kemalangan dapat dikurangkan ketika dalam keadaan kecemasan apabila penunggang masih boleh mengawal motosikal yang ditunggang ketika itu.

“Had laju 60km sejam itu adalah atas harapan penunggang motor sempat memperlahankan motosikal mereka dalam keadaan kecemasan kepada 40 km sejam atau kurang daripada itu sebelum perlanggaran berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir yang bertanya adakah kerajaan akan menguatkuasakan had laju maksimum 60km sejam bagi motosikal.

Menjawab soalan tambahan Musa sekiranya kerajaan bercadang mewajibkan penunggang motosikal yang berumur 17 hingga 20 tahun hanya menggunakan motosikal berkapasiti 70cc sahaja, Lajim berkata kajian perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Untuk mengehadkan seperti itu perlu ada kajian kerana ada pelbagai jenis motosikal yang berkapasiti berlainan jadi mungkin kementerian saya melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan buat kajian terlebih dahulu,” katanya. - Bernama