Thursday, April 23, 2009

Penanti: Peluang BN bela rakyat — Zulkifli Jalil

APRIL 23 — “Satu undi itu sebenarnya memainkan peranan yang boleh menentukan kredibiliti parti-parti yang bertanding termasuk BN. Meskipun sebelum ini ada calon menang percuma pada pilihan raya, namun rata-rata yang menarik diri itu datang daripada pembangkang. BN akan memecah tradisi jika tidak letak calon di Penanti.”

Demikian rumusan penganalisis politik, Noor Sulastry Yurni Ahmad yang juga pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi semalam mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persiapan badan itu untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Penanti. Ia akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian Isnin ini.

Umno menerusi mesyuarat Majlis Tertingginya esok akan mengumumkan sama ada akan meletakkan calon untuk bertanding atau sebaliknya.

Bagi Noor Sulastry, Umno perlu meletakkan calon untuk sekurang-kurangnya menambat kembali kepercayaan orang Melayu Pulau Pinang. Ini kerana peningkatan hidup orang Melayu masih tidak banyak berubah, malah lebih merosot di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.

Katanya, walaupun Penanti tidak memberikan keuntungan besar kepada BN, sewajarnyalah tanggungjawab terhadap rakyat secara keseluruhan diambil kira.

Mengikut tinjauan Umno Bahagian Permatang Pauh, 80 peratus daripada 300 pengundi mahukan BN bertanding. Peratusan ini sudah cukup menjelaskan betapa pentingnya peranan BN atau Umno khususnya, diperlukan untuk memperjuangkan nasib Melayu dan kaum lain di Pulau Pinang.

“Kesungguhan para pengundi kawasan tersebut mencerminkan kegagalan pakatan pembangkang dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menunaikan janji sepanjang tempoh pemerintahan,” kata Noor Sulastry.

Lihat sahaja apa yang berlaku dalam tempoh 12 bulan mereka memerintah. Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah menjanjikan bahawa dengan kuasa di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, pakatan akan melaksanakan dasar pasaran bebas yang mesra-perniagaan demi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan asing dan melahirkan ketelusan dan tanggungjawab lebih tinggi dalam urusan perniagaan.

Malah, PKR turut meletakkan salah satu keutamaan dalam perjuangan parti itu dan sekutunya untuk mula berdialog dengan para pelabur asing yang sudah bertempat di negeri-negeri yang disebutkan tadi.

Selain itu, pembangkang mahu membanteras gejala rasuah dengan meletakkan sasaran iaitu dasar toleransi sifar terhadap rasuah yang bakal meninggalkan impak besar daripada segi mengurangkan kos urus niaga dan membina keyakinan dalam perusahaan kecil dan sederhana.

Tidak terkecuali juga kakitangan kerajaan daripada berurus niaga dengan kerajaan, seterusnya mengurangkan insentif untuk kronisme dan perjanjian dalaman yang begitu membelenggu kerajaan sekarang.

“Janji-janji yang ditaburkan ini disebarkan secara meluas melalui pengguna media baru iaitu laman web Anwar. Begitupun perjuangan mereka banyak menjurus kepada agenda mega yang dilihat menguntungkan rakyat dalam tempoh panjang.

“Namun perjuangan akar umbi yang benar-benar membela nasib rakyat seperti di Pulau Pinang ketara tidak meninggalkan kesan yang drastik,” kata Noor Sulastry.

Beliau berkata, krisis kewangan menyerang dunia telah menguji kredibiliti seseorang pemimpin untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Namun, perbincangan tentang masa depan dan nasib nasib orang Melayu khususnya di Pulau Pinang kurang ditonjolkan.

Pada 27 Jun tahun lalu, Datuk Seri Najib Abdul Razak memaklumkan tindakan kerajaan menangguhkan beberapa projek besar di Pulau Pinang sebagai bukan untuk menghukum rakyat kawasan terbabit kerana memilih pembangkang, tetapi adalah atas keadaan semasa yang tidak mengizinkan.

Antara projek yang ditangguhkan ialah seperti Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang dan Monorel yang merupakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Pulau Pinang.

“Ini menunjukkan banyak lagi projek yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi rakyat Pulau Pinang. Tetapi, kerajaan negeri meletakkan sasaran terlalu tinggi hingga ke peringkat global tanpa mendengar rintihan rakyat di akar umbi,” kata Noor Sulastry.

Dalam aspek ini kata beliau, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, pernah bertekad akan memastikan semua rakyat bersatu hati berdasarkan tiga sifat utama iaitu menekankan aspek disiplin dan matlamat bersama untuk merealisasikan wawasan transformasi Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dinamik berdasarkan CAT.

Di samping itu, keyakinan intelektual memberikan idea baru berdasarkan prinsip, inovasi dan logik. Paling menarik ialah hala tuju bersama membentuk sebuah kerajaan berjiwa rakyat a people-centric government yang memerintah secara demokrasi dan kepimpinan beretika berdasarkan 5K iaitu kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketaqwaan kepada Tuhan.

Tetapi malang sekali matlamat perjuangan DAP kelihatan seperti terawang-awang apabila Guan Eng mahu mengkaji semula tarif minyak dan air yang dilihat membebankan rakyat. Desas-desus beliau mahu menaikkan tariff air seperti di Selangor sudah mula membimbangkan rakyat.

Dalam ucapan Bajet 2009 Negeri Pulau Pinang, Guan Eng membangkitkan isu tentang tanah-tanah yang diambil semula seperti di Sungai Dua yang dikatakan milik kerajaan negeri, malah berjanji mewujudkan peluang pekerjaan (projobs) yang menganggarkan seramai 50,000 pekerja swasta kehilangan kerja dengan memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM500 juta. Tetapi hakikatnya semua ini masih di peringkat “ujian” dan belum terlaksana sepenuhnya.

Penyelesaian-penyelesaian yang cuba diketengahkan oleh DAP ini belum mampu menarik perhatian pengundi Melayu bagi memperjuangkan hak mereka. Kedudukan geografi dengan tanah yang sangat terhad, harga tinggi serta lambakan pelabur asing, benar-benar meresahkan rakyat.

“Sekiranya BN tidak meletakkan calon di Penanti pada pilihan raya kecil ini, ia pastinya akan menambahkan keresahan di kalangan rakyat khususnya orang Melayu,” kata Noor Sulastry.

Keunikan masyarakat Pulau Pinang bukan sahaja terletak pada penduduk majmuk, budaya, makanan, kawasan peranginan dan bangunan mewah.

Menariknya masyarakat di sana adalah kerana keaslian orang Melayu. Mereka bukan berlatarbelakangkan kepada Melayu Jawa, Minang, Bugis, Banjar, Acheh dan lain-lain tetapi masyarakat perkahwinan campur.

Orang Melayu Pulau Pinang masih mencari jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka di Pulau Pinang. Hanya kerajaan BN yang mampu berbuat demikian. — Utusan Malaysia

No comments: