Saturday, August 30, 2008

Perodua Myvi - Lebih segar




DALAM sejarah model yang pernah dikeluarkan oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), MyVi sememangnya menggenggam kejayaan luar biasa.

Model yang diinspirasikan daripada model Toyota Passo atau Daihatsu Boon di negara kelahirannya, Jepun ia dilihat sebagai sebuah kompak yang memiliki hampir segalanya.

Myvi menawarkan ruang kabin yang luas, penggunaan bahan api ekonomi, selain reka bentuk yang tidak berkompromi dengan aspek keselesaan dan kemudahan.


PAPAN pemuka yang lebih segar dengan penggunaan reka bentuk meter optitron.


Maka, tidak hairanlah ia berjaya menawan hati lebih suku juta (250,000) pembeli kereta tempatan untuk dijadikan sebagai kenderaan harian masing-masing.

Sejak diperkenalkan pada Mei 2005, jualan Myvi merangkumi 50 peratus jualan keseluruhan Perodua. Malah, sehingga tempoh bagi pertengahan tahun 2008, sebanyak 52,724 unit Myvi telah pun didaftarkan.

Mahu menyediakan produk terbaik sebagai tanda terima kasih kepada peminat setia jenamanya, Perodua melancarkan model Myvi yang menerima pelbagai bentuk perubahan baru.

Myvi baru ini diperkenalkan oleh Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), minggu lalu.




Ia menerima sentuhan luaran yang lebih segar menerusi penggunaan gril hadapan, dengan emblem 'P' lebih besar dan bulat.

Bumper hadapannya juga kelihatan lebih lebar, lengkap bersama sepasang lampu kabus yang baru. Penampilan bahagian hadapan ini disempurnakan lagi dengan reka bentuk hud yang maskulin.

Sekilas pandang, agak sukar untuk melihat perubahan yang berlaku di bahagian belakang Myvi. Sebenarnya, bumper belakangnya telah ditukar, selain reflektor yang nipis. Seperti model sebelumnya, Myvi masih mengekalkan rim aloi bersaiz 14 inci, cuma kali ini rekaannya sudah diubah.

Perubahan lebih ketara di bahagian kabinnya. Rekaan di bahagian konsol tengahnya yang menempatkan unit audio dan tombol kawalan pendingan hawa diperkemas.

Warna keseluruhan ruang kokpit ini turut ditukar kepada tona yang lebih gelap. Ia meliputi papan pemuka, panel sisi dan fabrik tempat duduknya. Pemandu pasti teruja apabila melihat reka bentuk meter optitron dengan latar lampu berwarna ungu yang elegan.


RUANG kargo yang luas.


Buat pertama kali, Perodua mengetengahkan unit audio yang lengkap dengan pelbagai ciri terkini. Biar pun masih menggunakan reka bentuk unit audio yang penuh dengan butang-butang besar, ia kini mampu memainkan muzik daripada format MP3 dan WMA.

Tidak cukup? Anda boleh mendengar lagu kegemaran yang disimpan dalam USB, selain menggunakan ciri bluetooh untuk telefon bimbit atau alat pemain muzik yang lain.

Myvi cukup terkenal dengan praktikalitinya. Justeru, model ini dilengkapi dengan tempat duduk yang ketinggiannya boleh diubahsuai mengikut keselesaan. Bukaan pintunya juga seluas 80 darjah, membuatkan penumpang mudah untuk keluar dan masuk.

Bagi memastikan ruang kabin lebih tahan lama dan memberi keselesaan kepada penumpang, tingkap Myvi ini mampu menahan sinaran ultra violet sehingga 91 peratus.




Unit enjin yang digunakan tetap sama, sama ada enjin bersesaran 1.0 liter atau 1.3 liter, bergantung kepada varian yang anda pilih. Enjin ini mengaplikasikan sistem DVVT (Dynamic Variable Valve Timing) yang memberikan penjimatan penggunaan petrol.

Tidak mahu berkompromi dengan aspek keselamatan, Myvi dipasang dengan beg udara berkembar, ABS, EBD dan BA bagi model dalam varian premiumnya.

Menurut Syed Abdull Hafiz, walaupun kos meningkat sebanyak 30 peratus, pihaknya masih berupaya untuk tidak meletakkan beban itu ke atas pengguna menerusi jumlah pembelian yang tinggi.

Myvi didatangkan dengan lapan warna termasuklah putih, hitam, biru, merah dan perak. Pada tanda harga bermula RM39,000 hingga RM51,000 seunit, Myvi masih dilihat sebagai sebuah model yang wajar dimiliki.

No comments: