Saturday, August 30, 2008

Teknologi terbaik Suzuki - Suzuki GSX-R


DENGAN kerangka lebih gagah, GSX-R mencabar pesaingnya.


DALAM kebanyakan kategori motosikal supersport/superbike, jentera 1,000cc antara kelas komersial yang biasanya mempamerkan pertandingan di segenap penjuru.

Yamaha sinonim dengan YZF R1, Honda dengan CBR1000RR, Kawasaki dengan ZX10-R dan Suzuki dengan GSX1000R. Model yang dikenali dengan siri K daripada Suzuki ini boleh dilihat kejayaannya di Amerika Syarikat (AS). Kebanyakan tuner dan pengeluar peralatan aftermarket seperti Joe Rocket lahirnya di AS.

Suzuki digemari kerana pengendaliannya yang mudah dengan kuasa yang terbaik. Asas tunggangan model GSX-R ini memang mudah - perah, brek, ambil selekoh dengan yakin dan ulang semula.

Enjin kompak 999 cc sejukan cecair yang mana sejak azalinya dikategorikan sebagai lasak dan berkuasa. Direka untuk perlumbaan dengan gerek dan lejang 73.4 mm kali 59 mm, omboh buatan aloi aluminium tempa dengan potongan yang pendek serta 'kurus'.

Ini menjadikan omboh ini sangat ringan tetapi tahan lasak. Bagi mendapatkan komposisi pergerakan yang lebih mantap, rod penyambungnya diperbuat daripada keluli kromoli, mengentak omboh ke sepasang aci-sesondol dan injap titanum. Tidak banyak pengeluar yang mampu menghasilkan teknologi sebegini berikutan kos pengeluaran yang tinggi.

Bukan itu sahaja, kuasa daripada enjin ini disalurkan kepada kotak gear nisbah rapat enam kelajuan, pelapik klac dengan pengehad tork boleh laras dan gear yang dipacu oleh pengimbang kedua untuk mengurangkan gegaran pada enjin dengan berkesan.


SISTEM Ekzos Advanced Suzuki mengenengahkan kepanjangan paip yang dihitung dengan teliti.


Sistem penyuntik pada model 2007 ini juga telah dipertingkatkan dengan menggunakan 12 liang kecil berbanding empat sebelumnya untuk memaksimumkan aplikasi automasi pada sistem Efi barunya. Dengan liang yang lebih kecil, ia bertindak menyembur bahan api lebih sempurna. Penyuntik sekundernya pula boleh dilaras pada sudut 30 darjah tepat pada port pengambil untuk meningkatkan respons pendikit.

Port intake dan ekzos telah direka semula dengan lapan peratus lebih besar dan injap ekzos dua mm lebih lebar untuk berkhidmat dengan aci sesondol yang lebih agresif serta palam pencucuh iridium untuk pembakaran sempurna dan memandangkan jangka hayat.

Sistem ISC (Idle Speed Control) turut dipertingkatkan untuk memudahkan enjin dihidupkan ketika sejuk serta menstabilkan enjin pada pelbagai keadaan. Liang ventilasi dalam silinder juga dibesarkan sedikit untuk mengurangkan kehilangan kuasa apabila omboh kembali ke bawah.

Sistem ekzos Advanced Suzuki (SAES) mengenengahkan kepanjangan paip yang dihitung dengan teliti. Paip tengah yang pendek, peredam utama di bahagian bawah enjin dan sepasang peredam bunyi yang titanum yang diletakkan disetiap sisi.

Teknologi Penalaan Ekzos Suzuki (SET) yang telah terbukti berjaya mengurangkan tahap emisi di samping meningkatkan kuasa motosikal dengan berkesan.

GSX-R ini dibina berdasarkan sebuah mesin yang memang telah berjaya di pasaran. Begitupun, ia tetap dikemaskan lagi dengan pelbagai penambahbaikan. Seperti radiator baru yang dibina lebih besar dengan kadar keupayaan penyejukan yang bertambah hampir 10 peratus. Pengepam minyaknya juga kini lebih besar untuk meningkatkan kadar saluran.

Sistem komputer baru pada jentera ini bukan sahaja sekadar kawalan bahan api dan ekzos, ia turut menawarkan pilihan kepada penunggang memilih tiga mod talaan pemanduan yang telah ditetapkan mengikut corak tunggangan.

Dengan menekan satu suis di sebelah kanan bar hendal, kadar pemetaan bahan api akan berubah mengikut pilihan sama ada pada ketika jalan basah, gabungan (hujan dan kering) serta kering.

Casis baru GSX ini menggunakan kerangka baru yang dipertingkatkan dengan membawa semua beban enjin ke tengah. Penunggang akan berada betul-betul di titik tengah graviti, dengan tangki bahan api yang dipendekkan sedikit untuk memberi penunggang sudut tunggangan hadapan yang jitu.


GSX-R diberi kemasan baru dari segi teknologinya.


Menggunakan lima unit asas binaan kerangka, model baru ini direka dengan komponen yang lebih sedikit dan kerja pematrian yang minimum untuk ketepatan titik tengah dan mengurangkan berat. Lengan ayun belakang juga lebih ringan dan tegar dipasangkan dengan peyerap hentak serba baru.

Pengendalian GSX ini disempurnakan menerusi penggunaan suspensi hadapan dan belakang boleh laras. Tiub luar fork hadapan kini lebih besar dan diikat menggunakan tiga kunci berasingan untuk meningkatkan kejituan kerangka. Kadar kelegaan fork pula ditambah lima mm dari 120 mm untuk memberi tahap talaan yang membolehkan hampir semua saiz penunggang menggunakannya.

Kelebihan lain yang terdapat pada GSX-R ini ialah cakera brek hadapan dengan perumah baru. Setiap rotor 310 mm hadapan dibebankan pada perumah dengan 12 pengimbang berbanding lapan sebelumnya untuk memastikan pengaliran haba panas dengan baik.

Cakera yang digunakan juga telah dinipiskan sedikit (0.5 mm). Brek belakang pula berukuran 220 mm dengan omboh tunggal yang dipasangkan pada bahagian atas lengan ayun. Logiknya adalah untuk mengurangkan pergerakan suspensi ketika brek ditekan dengan kuat.

Bagi memastikan penunggang dapat membawa jentera ini tanpa rasa beban berat hendal yang ketara, Suzuki telah memasangkan steering damper jenis elektronik. Terdapat unit injap soleniod yang menghantar isyarat pada komputer memberitahu kelajuan. Lebih perlahan, maka stereng akan jadi lebih ringan untuk diputarkan dan begitulah sebaliknya.

GSX-1000R memang sebuah model yang berjaya bagi Suzuki. Tumpuan terhadap kualiti buatan dan tunggangan menyebabkan Suzuki begitu agresif menghasilkan motosikal yang bukan sahaja pantas, tetapi jitu untuk tunggangan.

Malah dari sudut sejarahnya, Suzuki menghasilkan rekod factory-defect paling rendah bagi pengeluar motosikal Jepun. Masalah seperti tank slip telah diselesaikan lebih 10 tahun dahulu oleh Suzuki, sedangkan pengeluar lain masih mencari kaedah yang sesuai.

No comments: