Saturday, August 30, 2008

Persona SE - Sporty premium


WAJAH segar Persona yang turut mendapat sambutan di Australia, UK, Indonesia dan Brunei.


DIBINA atas platform produk pertama keluaran sepenuhnya Proton iaitu Gen-2, model ini seakan memberi satu nafas baru kepada rangkaian produk yang ditawarkan oleh pengeluar kereta nasional ini.

Maklum balas yang diterima model Persona cukup memberangsangkan. Sejak diperkenalkan kepada khalayak pada Ogos tahun lalu, sebanyak 52,112 pesanan unit Persona telah diterima dan jumlah itu dikatakan semakin meningkat.

Tidak terhad di pasaran tempatan, Persona turut diterima baik oleh pengguna di Australia, United Kingdom, Indonesia, Brunei dan Singapura. Hanya berusia lebih setahun, Persona tampil dengan perubahan yang agak signifikan demi memenuhi cita rasa pengguna yang bijak menilai.

Dipersembahkan kepada sekumpulan media dan orang ramai di sebuah kompleks beli-belah di Mutiara Damansara, model Persona Edisi Khas ini cukup menyerlah.




Menurut Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd., Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Persona SE merupakan satu lagi kesungguhan proton dalam menghasilkan model yang menepati kehendak pasaran.

"Persona SE diletakkan pada posisi untuk memberikan nilai tertinggi dalam varian model Persona menerusi segala pembaharuan, demi keselesaan dan kemewahan pada model ini.

"Pembaharuan produk adalah proses berterusan di Proton, maka pelancaran Persona SE bermatlamat menarik minat pembeli baru dan membuatkan mereka melihat model ini sebagai pilihan pertama," katanya.




Sebenarnya, penambahbaikan yang ada pada Persona adalah sebagai respons terhadap cadangan yang diperoleh daripada pemilik model tersebut.

Kita mulakan dengan aspek luaran Persona. Menerusi konsep eksklusif dan elegan, model ini dibekalkan dengan body kit yang menambahkan lagi penampilannya yang sporty dan premium, selain meningkatkan tahap aerodinamik.

Ditawarkan dengan dua warna baru iaitu merah dan biru, Persona menggunakan perumah lampu utama berwarna hitam, rim aloi bersaiz 15 inci (sedikit kecil) dan pemegang pintu berwarna perak untuk gaya yang lebih maskulin.

Ruang dalamannya menerima perubahan ketara. Mengaplikasikan warna hitam sebagai latarnya, pemilik Persona SE pasti senang dengan penggunaan tempat duduk yang disalut kulit berkualiti tinggi dan kemas.

Tidak cukup dengan itu, tombol gear, stereng dan panel sisi pintu juga dibalut dengan kulit warna sedondon. Paparan meter diperkemas menerusi penggunaan lampu latar berwarna merah lazer dengan reka bentuk minimalis.




Dalam usaha menjimatkan penggunaan minyak dan meningkatkan tahap keselamatan pemanduan, Persona SE dilengkapi dengan ciri auto cruise.

Ia membolehkan anda menetapkan tahap kelajuan tanpa perlu menekan pedal minyak, terutamanya ketika berada di lebuh raya.

Anda juga tidak akan tersesat ketika menuju ke sebarang destinasi dengan bantuan unit GPS. Peta yang disediakan oleh pihak TM Map ini dipaparkan melalui skrin yang besar dan jelas.

Persona SE mengekalkan unit enjin Campro IAFM, empat silinder, DOHC 16 injap bersesaran 1.6 liter. Dengan hamburan kuasa maksimum sehingga 82 kW @ 6,500 rpm dan tork 148 Nm @ 4,000 rpm, ia mampu mengheret tubuhnya tanpa sebarang masalah.


DENGAN beberapa sentuhan baru seperti kerusi kulit dan teknologi GPS, Persona pasti mendapat perhatian ramai.


Apa yang membuatkan Persona sebuah model sedan yang berbaloi ialah ia dilengkapi dengan ciri pemanduan kejuruteraan Lotus, di samping aspek keselamatan seperti ABS, EBD dan beg udara berkembar.

Di sebalik pelbagai penambahan aksesori, Proton mampu memastikan tanda harga Persona berada di bawah RM60,000 atau lebih tepat lagi RM59,800 yang membuatkannya cukup kompetitif berbanding model lain sekelas dengannya.

No comments: